Saturday, January 29, 2022

#4 CURHAT: Berbeza

Kau tahu?
Menasihati dan menghukum merupakan dua perkara yang berbeza?

Lupakah kau bahawa manusia boleh memilih untuk memahami berbanding menghukum?

Sungguh, dunia kau dan dunia aku berbeza.
Perjalanan hidup kita tidak sama.
Kita melalui jalan yang berasingan.

Benar.
Antara dirimu dan diri aku, tiada bezanya.
Kau dan aku, kita sama-sama hamba.

Namun, adakah kau lupa?
Kasut yang kau pakai tidak sama tapaknya dengan milik aku.
Keadaan kau, keadaan aku, berbeza.
Ujian kita tidak sama.

Yang demikian tidak memberikan kau hak untuk menilai dan menghukum orang lain secara membuta tuli.

Untuk kau fahami cerita suka duka orang lain, tidak memerlukan kau menukar identiti, cukup kau menjadi manusia untuk mempunyai empati.

Sarung sahaja kasut mereka.
Dari situ, kau akan mula belajar melihat dunia melalui perspektif yang berbeza.
Sisi yang asing.
Sisi yang tidak pernah kau lihat.
Sisi yang kelam.
Sisi yang gelap pekat dan berdarah, mungkin.
Kerana antara dunia kau dan dunia mereka, punyai cerita dan landasan yang berbeza.

Jika kaki kau tidak pernah menapak di jalan yang berduri, di dunia mereka, kau akan melaluinya.
Jika badan kau tidak pernah luka berdarah disiat parang tajam, di dunia mereka, kau akan melaluinya.
Jika hidup kau tidak pernah lemas dicengkam dunia, di alam mereka, kau akan mati tidak berdaya.

Di dunia mereka, kau akan lalui segalanya.

Kerana itu, usahlah kau menilai dan menghukum orang lain.
Berhentilah melakukan kerja Tuhan.
Gunakan sahaja matamu untuk menilai baik burukmu sendiri.

Belajarlah untuk memahami.
Berdamai dengan manusia.
Buang prasangka burukmu.
Bukankah lebih baik begitu?

Sungguh, sifat kemanusiaanmu lebih mulia daripada apa jua sekalipun.

Cubalah kau lihat dunia melalui kaca mata yang berbeza.
Bukan sahaja melalui mata zahirmu.
Tetapi melalui hati dan jiwamu.